Surah Al-Maeda
Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi
dan Nasrani itu sebagai teman rapat kerana setengah mereka menjadi teman
rapat kepada setengahnya yang lain dan sesiapa di antara kamu yang
menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya dia adalah dari
golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada
kaum yang berlaku zalim. (51) Dalam
pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam
hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan
Nasrani), sambil berkata: Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana
(yang memaksa kami meminta pertolongan mereka). Mudah-mudahan Allah akan
mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya dan umat Islam) atau
mendatangkan sesuatu hukuman dari sisiNya (terhadap golongan yang
munafik itu); maka sebab itu mereka akan menyesal mengenai apa yang
telah mereka sembunyikan dalam hatinya. (52) Dan
(telatah kaum munafik itu menjadikan) orang-orang yang beriman berkata:
Adakah mereka ini orang-orang yang bersumpah dengan nama Allah, dengan
sebenar-benar sumpahnya, bahawa mereka benar-benar menyertai dan
menolong kamu? Telah gugurlah amal-amal mereka, lalu menjadilah mereka:
Orang-orang yang rugi. (53) Wahai
orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari
agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia
kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat
lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah
terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh
pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang
mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya
kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah
kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya. (54)
No comments:
Post a Comment